KU SEMAN KU HUSSAIN (KUSEMANKH@GMAIL.COM)

14 Jun 2015 12:59 AM

Saya memulakan catatan hari ini dengan ucapan syabas dan tahniah kepada Proton kerana diberi “publisiti” besar-besaran selama tiga hari berturut-turut oleh TV3 baru-baru ini. Bukan mudah untuk mendapat peluang “keemasan” begitu. Sebenarnya dengan rating TV3 tertinggi, “iklan percuma” pada waktu perdana yang diberikan itu terlalu tinggi nilainya. Nasib baik TV3 memberikan secara percuma. Kita wajar menyanjung sikap pemurah yang ditunjukkan itu.

Kita juga wajar berbangga kerana stesen televisyen ini berjiwa rakyat dan mendengar “rintihan” pemilik-pemilik teksi yang mengadu kualiti kereta Proton terlalu rendah. Pemilik teksi dikira bernasib baik kerana mempunyai TV3 yang mengutamakan keluhan mereka walaupun kereta Proton dijadikan teksi sudah hampir tiga dekad lalu.

Janganlah ditanya kenapa dan mengapa rintihan itu dilayan ketika ini. Elok sangatlah media tempatan seperti TV3 memberikan “iklan percuma” kepada khazanah negara seperti Proton ini. Kalau hendak diharapkan media Barat seperti The New York Times atau The Washington Post, tidak adalah nampaknya. Lagi pun jangan percaya sangat dengan media Barat kerana mereka lebih cenderung untuk meruntuhkan daripada melestarikan yang sudah ada.Proton bagi kita adalah sebatang pokok yang bertaraf balak.

Mengambil masa berpuluh tahun untuk matang, tegap dan teguh menahan ribut dan taufan. Kalau dulu orang Melayu dihina oleh penjajah kerana tidak mampu membuat jarum, tetapi sejak tiga dekad lalu, kita sudah boleh membuat kereta. Proton dan beberapa lagi yang menjadi mercu tanda kecemerlangan dan legasi bangsa adalah sebatang balak yang mengambil masa lama untuk berada seperti yang kita lihat sekarang.

Bercakap tentang pokok balak, ingatan saya pantas melayang ke kampung halaman ketika mula-mula menjadi wartawan di Utusan Melayu 30 tahun lalu. Di kampung ada seorang tua, guru pencen yang terus kekal dengan panggilan hormat “Cikgu” dalam kalangan orang kampung. Cikgu pencen ini seorang pembaca setia akhbar Utusan Melayu bertulisan Jawi.

Dia sangat berbangga apabila saya bekerja di Utusan Melayu sebab dia kagum kepada tokoh wartawan, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Dia terkedu apabila saya memberitahu bekerja satu pejabat dengan Pak Sako. Dia kata, kalau Pak Sako menyertai UMNO, sudah lama Pak Sako menjadi menteri. Entahlah, saya tidak tahu cerita ini tetapi Pak Sako memang hebat, antara anak Melayu awal pernah jadi majistret zaman penjajah Inggeris.

Suatu hari apabila saya bercuti di kampung, Cikgu datang ke rumah dan berbual panjang di tepi sawah tentang hal ehwal di Kuala Lumpur. Dia kelihatan ternganga apabila saya menceritakan tentang operasi di Jabatan Pengarang Utusan Melayu yang bingit dengan bunyi mesin taip. Cikgu banyak memberi nasihat kepada saya, antara yang saya tidak lupa ialah jangan sama sekali menjadi kayu hulu kapak.

Ketika itu saya tidak faham sangat dengan kiasan-kiasan. Pening memikirkan kayu hulu kapak. Puas mencari maksud tersurat dan tersirat. Kata Cikgu, kayu hulu kapak itu dikiaskan kepada orang yang menjadi pengkhianat. Cikgu menghuraikan, hulu kapak itu diperbuat daripada kayu yang asalnya sebatang balak. Kemudian dibuat hulu tempat memegang untuk digunakan bagi menebang pohon yang “sebangsa” dengannya.

Dalam lain perkataan, kiasan kayu hulu kapak ialah orang yang dipergunakan oleh pihak lain untuk menumbangkan legasi atau khazanah milik bangsanya sendiri. Ini adalah gambaran orang yang hilang maruah dan integriti kerana sanggup menjadi alat untuk menghancurkan sesuatu yang menjadi milik bangsa.

Saya agak terkilan kerana ketika itu tidak mengambil endah sangat dengan nasihat orang tua-tua. Pernah sekali itu Cikgu memberi amaran kepada saya, katanya, “Aku tak mau dengar hang jadi wartawan kayu hulu kapak, dipergunakan untuk meruntuhkan bangsa,”.

Saya terkedu. Sampai hati Cikgu kata saya “wartawan kayu hulu kapak”. Tetapi setelah lama bergelumang dalam dunia wartawan, melihat warna peribadi pelbagai manusia termasuk yang menjadi sesumpah dan rama-rama, barulah saya sedar nasihat Cikgu sebenarnya sangat berharga.Saya bertemu dengan banyak manusia seperti hulu kapak, mereka dipergunakan untuk menumbangkan pohon bangsanya sendiri kerana mengejar habuan dan kedudukan. Mereka melakukan tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Oleh kerana Proton diumpamakan sebatang balak yang sudah mempunyai teras, janganlah pula ada manusia yang berperangai seperti kayu hulu kapak yang dipergunakan untuk menebang legasi kebanggaan bangsa itu. Saya percaya tidak ada. Kalau ada, itu tandanya nilai integriti dan maruah mereka lebih rendah daripada sekeping roti yang basi.

 

Pejabat JPJ lebih rendah taraf dari kasino

Baru-baru ini kecoh di laman sosial seorang wanita Cina diminta memakai kain batik semasa berurusan di sebuah pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Wanita itu dikatakan memakai skirt singkat dan suasana begini dianggap suatu yang biasa, padahal ini adalah luar biasa.

Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai dipetik sebagai berkata, tidak ada peraturan tentang kod etika pakaian pelanggan yang berurusan dengan JPJ. Lebih malang lagi anggota Rela yang meminta wanita Cina itu memakai kain batik telah dikenakan tindakan dan ditukarkan serta merta.

“Saya kesal isu kod etika pakaian terjadi. Tidak ada perkara seperti peraturan kain sarung. Kita tidak harus mengenakan garis panduan kod pakaian yang tidak perlu kepada orang awam. Terdapat keperluan segera untuk mengkaji semula garis panduan yang sedia ada,” kata Tiong Lai menerusi laman Face­booknya.

Benarkah pejabat kera­jaan tiada kod etika pakaian? Kalau benar, ini suatu yang sangat memalukan. Hendak masuk kasino pun kena mengikut kod etika pakaian, inikan pula pejabat kerajaan. Takkan maruahnya lebih rendah dari kasino tempat orang berjudi?

Kalau tidak percaya pergilah meredah masuk ke kasino tanpa memakai pakaian yang menepati kod etika yang ditetapkan. Anda akan dihalau, tidak boleh masuk waima untuk berjudi. Nak berjudi pun kena mematuhi etika pakaian, pejabat kerajaan tidak ada peraturan.

Saya tidak percaya kata-kata Tiong Lai. Mustahil tidak ada peraturan. Akhirnya ada orang membuktikan kepada saya, memang ada peraturan. Sekarang orang yang melanggar peraturan dimenangkan dan anggota Rela yang memperkasakan peraturan telah dikenakan tindakan. Ini undang-undang rimba mana ni?

Advertisements