Suaramu tidak hilang dalam kebisingan

Amanatmu tidak boleh disekat dihalang

Atau dilenyapkan oleh genderang perang.

Biarkan mereka meniupkan nafiri

Mendabik dada menunjuk berani

Biarkan mereka julang sang dewata

Biarkan mereka bersumpah setia

Menyanyikan lagu-lagu cinta

Sambil berkata:

“Kami cintakanmu sang dewata.”

Biarkan dia dijulang sejuta manusia

Biarkan dia disanjung demi kuasa

Biarkan dia dipuja kerana wang berjuta

Kerana engkau lebih besar daripada itu

Engkau tidak perlu puji dan puja palsu.

Engkau tidak keseorangan

Suaramu tidak hilang dalam keriuhan

Amanatmu tidak pudar kerana cemuhan

Atau dilenyapkan oleh sejuta tuduhan.

Biarkan mereka mengutuk mencacimu

Biarkan mereka menyumpah seranah namamu

Memanggilmu orang tua gila

Kerana azammu membela bangsa dan negara

Kerana pedulimu kepada rakyat jelata.

Biarkan mereka mendabik dada

Biarkan mereka tunjuk perkasa

Kerana kekuatanmu bukan pada senjata

Bukan pada penyokong palsu berjuta

Bukan pada kedudukan dan kuasa

Tetapi pada azam sekeras waja

Pada minda yang tiada taranya.

Engkau keseorangan ..bersendirian?

Jauh sekali, umpama air dengan api

Engkau punya ramai kawan dan teman

Engkau punya anak-anak yang cintanya sejati

Generasi yang engkau didik dan besarkan

Dengan idealisme dan perjuangan

Merekalah bala tenteramu

Merekalah pengarak panji-panjimu

Merekalah peniup nafirimu

Merekalah pemalu genderang perangmu.

Perjuangan-mu belum selesai

Bahtera kita dilanda ombak badai

Bahtera merdeka pusaka ibunda

Yang kita bina dengan keringat dan air mata

Berdosalah kita seandainya ia terkandas

Dirampas dirampok tangan-tangan ganas.

Anak-anakmu masih ingat luahan hatimu

“….Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan.”

Perjuanganmu belum selesai

Jangan biarkan hati anak-anakmu terlerai

Jangan biarkan negara kita hancur berkecai

Insya-Allah hasrat murni kita akan tercapai.

Nukilan A Kadir Jasin

Advertisements