Ada saya baca, mereka sebut Inarad itu sebagai ‘The Lost World of Inarad’.
Perjalanan yang di janjikan antara 6 hingga 8 jam. Tapi saya lalui lebih lama, boleh jadi 10 hingga 12 jam. Itu tempoh yang saya tempuhi. Begitu juga waktu keluar dari Inarad.

Benar wujud laluan sukar yang tidak bertanda, melalui perkampungan kawasan ladang yang jauh berada di tengah Sabah. Tapi yang mereka tidak tahu, situasi itu saya dah nampak 35 tahun lalu di negeri kelahiran saya di Perak. Apa yang wujud di Inarad adalah ‘harta Sabah’ yang paling bernilai, mereka wujud dengan corak kehidupan yang di bantu oleh kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri Sabah. Mereka dapat membentuk penempatan mereka mengikut kehendak mereka.

Wujud kemudahan asas yang agak sempurna, malah lebih baik dari penempatan orang asli lain di semenanjung Malaysia barangkali. Yang menjadi masalah utama mereka adalah pendaftaran kelahiran & perkahwinan. Mereka ambil masa untuk mendaftar kerana jarak yang jauh untuk keluar ke kawasan pentadbiran di Tongod. Jauh itu kerana tiada kemudahan jalanraya. Tiada kenderaan juga, kalau jalan kaki atau ikut sungai, mereka cakap ambil masa 3 hari. Jika menyewa kenderaan pula harga nya lebih rm500 bagi sekali perjalanan.

Pengalaman saya bersama konvoi Mahkamah Bergerak berserta agensi negeri Sabah itu merupakan pengalaman sekali seumur hidup. Malah di sertai pula dengan pelbagai agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kesihatan, Majlis Daerah Tongod, Jabatan Pendaftaran, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan ( RTM & TV3) , Rela, Polis Kinabatangan bersama NGO lain yang perihatin pada permasalahan Inarad.

Saya lebih bernasib baik, apabila kedatangan saya di sambut ‘meriah’ oleh pegawai khas kepada YB Dato Bung Mokhtar Raden, Encik Amrie & Encik Lila yang banyak memberi maklumat tentang Sabah & Kinabatangan.

Saya merasa irihati dengan Inarad, walau jauh berada di tengah Sabah, mereka ( pihak Kehakiman Negeri Sabah ) mengistiharkan Inarad sebagai kampung angkat mereka dan menyerahkan plak ‘Deklarasi Inarad’ sebagai bukti dan perhatian mereka pada Inarad. Malah mereka bawa bersama Ketua Hakim Borneo Yang Amat Arif Tan Sri Richard Malanjum bersama para hakim & pendaftar dari institusi kehakiman Sabah bagi tujuan memudahkan proses mendaftar kelahiran dan urusan mykid & mykad pada penduduk Inarad.

Saya dapat rasakan ‘kekayaan’ Sabah berada di Inarad!

Advertisements