Aku telah mendengar cerita itu
waktu aku kecil dulu
daripada ibu
juga orang tua-tua di kampungku
dari khazanah cerita nenek moyang
dari pusaka kehidupan di pedalaman
di lurah-lurah gunung
di tepi-tepi sungai
zaman berzaman

Mana aku sangka
aku akan menyaksinya
dengan matakan sendiri
keajaiban yang mereka ceritakan
cerita daripada segala cerita
ibu segala cerita
yang ku lihat hari ini
di depan mata

Khabarnya ia keluar
dari sebalik sebuah tembok kuat
di buat oleh Iskandar Besar
di sebuat tempat di perut Asia
di zaman yunani purba
beribu tahun dulu
kemudian runtuh..
seperti sebuah banjir besar
menyerbu dan merusuh
seperti sebuah sungai deras
merempuh, menumbuk dan meruntuh
mengalir kemana ia suka
arus sejarah yang tidak tersangga.

Dajjal dalam riwayat
Yakjuj dan Makjuj dalam kitab suci
akan menjelajah ke seluruh Malaysia
maka ke seluruh dunia
mendengar, bertanya dan bertengkar
segala mereka pandai dan tahu
tentang cerita di antara segala cerita

Aku telah menulis sajak
esei dan buku
gergasi ini begitu menghantu
penderitaan bangsaku
dari China ke Timbuktu
melangkau Gugusan Pulau-pulau Melayu
Dajjal inikah punca segala angkara
dari mana datang kuasanya
Jika Tuhan Maha Berkuasa ada.

Aku bertanya kepada ahli falsafah
kepada paderi dan ulama
siapa sahaja, ahli politik juga
siapakah Dajjal dalam riwayat
Yakjuj dan Makjuj dalam kitab suci
pelbagai jawapan yang aku terima
pelbagai soalan yang muncul semula
kerana mereka takut untuk menyingkap
Dajjal yang mungkin ada dalam hati mereka.

Lalu sedikit demi sedikit
demikian halnya dengan suatu dan segala
seperti benih yang menjadi pokok
seperti bayi yang lahir menjadi tahu
seperti mati bertukar menjadi hidup
Dajjal yang keluar dari lumpur kehidupan
tiba-tiba bertakhta di Majlis Keselamatan
membuat angkara kiri dan kanan
lalu satu dunia gementar

Waktu itulah berlaku Ibu Segala Pertempuran
di antara Dajjal dan pencabarnya
yang telah di asuh oleh Tuhan
di wilayah ummulqura
tempat bangkitnya Ibrahim, Musa, Isa, Muhammad
tempat dan titik penentuan
antara kebaikan dan kejahatan
antara kebenaran dan kepalsuan.

Lalu aku ingat kepada perjanjianku
dengan Tuhan
Yang saban hari aku perbaharukan
– sembahyangku, pengorbanan ku,
hidupku dan matiku
untuk Tuhan, Tuhan sekalian alam-
bukankah hidup untuk mati
dan mati untuk hidup itu lebih tinggi
lalu aku tahu
maknanya hidup dan mati

Dajjal laknat Tuhan
berkumpulnya dengan tiga puluh sekutunya
mempamirkan kekuatan
di darat dan lautan
untuk menakutkan sekalian insan
lalu gementarlah mereka yang tidak punya iman
takutkan mati dan siksa Dajjal
kerana sayangkan kepalsuan
lalu bertemulah Dajjal
dengan lawan nya yang berani mati
di selatan Iraq dia cabut lari
mengibar bendera kemenangan
di sebalik Majlis Keselamatan

kemudian dia datang lagi
dengan penasihatnya
seperti dulu mendakwa
untuk mempertahankan keselamatan dunia
sebenarnya untuk membunuh pahlawan rakyat
yang berani ingkar
lalu di dapati dia tak punya sekutu lagi
yang sudah cabut lari
takut akan kebangkitan rakyatnya sendiri
atau yang dulu kena tipu
dan sekarang sudah tahu
kecuali dua tiga kerat
Inggeris, Israel, Kuwait keparat.

Hai Dajjal durjana!
sekarang kau hendak kemana
kau sudah aku kepung
lautan api mengelilingmu
seperti Firaun zaman Musa dulu
sama ada kau serah diri
atau kau mati

Demikianlah cerita pembunuhan Dajjal
yang dulu aku tidak tahu
atau makna ceritanya
terbunuh di depan mata
Maha Suci Allah
Tuhan Yang Maha Kaya!

Kassim Ahmad
26 Februari 1998