Lawan akal dan lawan ilmu yang di benteras oleh kedua-duanya sehabis habis upaya ialah kejahilan. Kejahilan itu adalah alamat bekunya perasaan dan lemahnya otak. Kata hukama, buta hati kerana jahil lebih berbahaya daripada buta mata. Itu sebenarnya kerana bukan sedikit jumlah orang yang buta matanya tetapi terhitung tinggi dalam dunia kerana ilmunya.

Adapun kejahilan itu terbahagi kepada dua garis yang besar. Sebagai mana akal ada mempunyai bahagian kepada akal yang asli dan akal yang di usahakan, maka jahil juga terbahagi kepada dua pula iaitu jahil yang tipis dan jahil yang tebal dan berlapis, jahil basith dan jahil murakkab.

Adapun jahil basith atau jahil yang tipis ialah sebab kekurangan akal dan kekurangan pengalaman atau kurang pula pergaulan. Jahil yang begini kalau dia terlanjur mengerjakan kesalahan, lalu di beri ingat, mahu dia lekas berubah, kerana batinnya suci. Adapun jahil murakkab ialah jahat asli yang bila di beri ingat, akan bertambah juga jahilnya. Jahil murakkab itu lebih berbahaya lagi sekiranya di tumbuhi oleh kesombongan.

Di dalam perkara faham dan kepercayaan terbahagi pula darjat orang yang jahil kepada empat tingkatan. Tingkatan pertama, tidak mempunyai pendirian, baik pendirian yang benar atau salah sekalipun, masih kosong. Orang ini mudah di beri petunjuk, sebab dia masih sebagai kertas putih yang belum tercoreng, atau tanah subur yang belum di tanami.

Tingkatan kedua, mempunyai pendirian yang salah, tetapi dia tidak tahu akan kesalahannya itu, di pegangnya hanya kerana jahilnya. Ini pun mudah merubahnya sekali pun tidak semudah yang pertama. Tak ubahnya dengan batu tulis yang telah terconteng, tapi masih mudah menghapuskannya supaya di ganti dengan tulisan yang baharu. Atau sebagai tanah subur yang telah panjang rumputnya, perlu di siangi dahulu.

Tingkatan ketiga, mempunyai pendirian salah yang di sangkanya telah benar, lalu dipegangnya. Juga dengan kebodohannnya dan lantaran lemah pemandangannya. Tingkat ini payah merubahnya, mesti beransur, mesti perlahan-lahan, kadang-kadang mengkehendaki masa bertahun-tahun.

Tingkatan keempat, orang yang mempunyai pendirian yang salah, tahu akan kesalahan itu, atau boleh mengetahuinya, akan tetapi tidak mahu dia meninggalkan kesalahan itu, tidak mahu surut kepada kebenaran, ada kerana benci, atau kerana hasad atau takbur atau keras kepala. Golongan inilah yang dinamai oleh agama sebagai fasiq. Bertambah diberi ingat mereka itu bertambah lari. Bertambah didekati mereka bertambah jauh.

Golongan yang empat macam itu sudah di tentukan cara menghadapinya oleh agama Islam. Ada yang dengan hikmat, memperbanyakkan misal dan umpama, itulah golongan yang pertama dan kedua. Ada yang dengan mauizah, dengan memberi peringatan dan pengajaran, itulah golongan ketiga. Dan ada pula dengan ‘mufadalah billati hia ahsan’, bertukar fikiran dengan jalan yang sebaik-baiknya. Itulah golongan keempat. Kalau ketiga ikhtiar itu tiada akan mampan lagi, bukanlah lagi perkara kita, serahkan kepada Tuhan. Habis perkara! Kerana hukuman, keputusan ada di tangan beliau! Dialah yang akan memberi hidayatNya, bukan lagi tergantung di tangan kita, tetapi di dalam kekuasaanNya sendiri.

Advertisements