Petikan ucapan YTM Tunku Abdul Rahman, Persidangan Agung Pemuda, Melaka, 3 April 1953.

“.. Dengan cogankata ‘Merdeka’ ini bermakna kita bebaskan diri kita daripada naungan itu dan berdiri di atas kaki kita sendiri. Bagi menyelamatkan dan mendapatkan kelebihan-kelebihan untuk bangsa kita, terpulanglah pada ikhtiar kita sendiri dan tidak mengharapkan belas kasihan.

Kemerdekaan yang hendak di capai itu ialah hendak mengambilnya dari pihak British dan bukan daripada tangan orang yang menumpang di Tanah Melayu di bawah naungan British.

Kita berkehendakkan kemerdekaan kerana kita hendak menunjukkan dan mengesahkan yang kita boleh menerima kemerdekaan dan berbaik-baik dengan bangsa asing yang bersama-sama dengan kita di sini. Dan kerana nak menunjukkan bukti, kita berbaik-baik dengan orang-orang Cina terlebih dahulu dan kemudiannya orang lain.

Setengah daripada penganjur-penganjur telah berkata iaitu hendak jadikan kita semua bangsa yang di negeri ini ‘Malayan’ barulah kita merdeka. Dengan tujuan hendak menjadikan penduduk di sini Malayan maka Dato’ Onn telah cuba menubuhkan sebuah parti yang di namakan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) tetapi tidak maju. Sekarang seorang Dato’ lagi cuba menubuhkan parti kerana hendak jadikan orang-orang di sini ‘Malayan’ juga. Selain dari itu ada lagi tujuh orang, orang-orang Dato’, menteri-menteri besar serta beberapa orang hartawan hendak jadikan ‘Malayan’ itu.. “