PRU13: MAKNA, IMPLIKASI DAN CABARAN

PILIHANRAYA UMUM KE-13:
MAKNA, IMPLIKASI DAN CABARAN

Oleh: Kassim Ahmad
6 Mei, 2013
(Dipinda dan diperpanjang pada 13 Mei, 2013)

1.      Kesan Pertama: Rasisme Kaum Pendatang
Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13), dilawan dengan sengit antara gabung parti BN dan gabungan parti Pakatan Rakyat (PR) telah datang dan pergi. Anwar Ibrahim, ketua PR, begitu yakin beliau akan menang dan mengambil-alih Putrajaya, dengan mimpinya mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Agung sekali!  Setelah tengah malam 6 Mei, mimpin ini hancur berkecai: BN telah menang dengan majoriti mudah. Semalam yang indah, kerana Najib, ketua BN, telah bekerja kuat sekali dan layak diberi mandat baru oleh rakyat Malaysia. Persis itulah yang mereka lakukan. Tahniah kepada rakyat Malaysia!
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna UMNO, parti tulang belakang BN, boleh berteduh dalam zon selesa. UMNO dan BN perlu direkayasa.  Kritikan dan koreksi patut dan boleh dilakukan dari dalam, bermula dari Perhimpunan Agung UMNO dan terus ke bawah. Begitu juga dalam parti-parti dalam BN.
Sesetengah pengkritik Eropah-sentrik mengatakan UMNO telah memerintah terlalu lama, seolah-olah yang lama itu tidak baik. Persoalannnya bukan lama atau baru. Persoalanannya baik  atau buruk.  Nabi Muhammad, yang perlu menjadi contoh kepada kita, memerintah Madinah selama 10 tahun hingga beliau wafat..
Najib dalam ucapan kemenangannya merujuk kepada aliran pengundian perkauman dalam masyarakat Cina. “Ini memerlukan usaha penyatuan nasional,” kata beliau, dengan wajah muram dan sedih. 

2.      Latarbelakang Sejarah Malaysia
Untuk betul-betul memahami perisitiwa ini, kita harus mengesan kembali sejarah Malaysia.  Malaysia, sebuah negara-bangsa baru majmuk pelbagai kaum, berasal dari Kesultanan Melayu Melaka dalam abad ke-15 dengan kedudukan berdaulat  raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama negara.
Empayar Melayu ini sebagian daripada Dunia Melayu yang terdiri dari Persekutan Tanah Melayu, Indonesia, Pattani dan Brunai. Penjahan Barat (Portugis, Belanda dan Inggeris)  dan penjajahan Timur  (Thai dan Jepun) memecah dan memisahkan Dunia Melayu ini selama 446 tahun sehingga zaman kemerdekaan memecah tembok penjajahan itu.
Hakikat ini tidak difahami oleh masyarakat-masyarakat pendatang (Cina dan India) yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris untuk mengerjakan ekonomi kolonial mereka. Pada hari kemerdekaan Raja-Raja Melayu dan orang Melayu dengan murah hati telah bersetuju  memberi kerakyatan kepada 1 juta orang Cina dan India pendatang ini – satu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana bangsa lain di dunia.  Sebagai balasan kepada kemurahan hati orang Melayu ini, dibuat satu kontrak sosial di antara kaum anak watan dan kaum pendatang – kerakyatan automatik diberi kepada kaum pendatang dan apa yang dikatakan “hak-hak isimewa” diberi kepada anak watan. Hak istimewa ini sebenarnya hak yang sah orang Melayu, bukan “hak istimewa”. Istilah “hak istimewa” tidak tepat sama sekali dan telah membawa kepada rasisme kaum pendatang Cina, yang menganggap orang Melauu juga kaum pendatang.  Ini jelas kelihatan dalam pengundian kaum Cina yang yang memberi undi mereka kepada parti cauvinis DAP dalam pilihanraya umum ini.

3.      Kemurahan Orang Melayu da Kontrak Sosial Antara Kaum
Tidak syak lagi, kebenaran tulisan seorang pengarang Perancis, “The Malays are the gentlemen of the East.” Mereka satu bangsa yang tinggi budinya, senantiasa bermurah hati kepada tetamu. Tetapi, di sebalik sifat murah hati itu, terselindung sifat berani dan bengis   apabila mereka tersepit – mereka mengamuk!
 Amukan orang Melayu kelihatan dalam peristiwa-peristiwa sejarah – amukan Hang Jebat di kota Melaka dalam abad ke-15, amukan orang Melayu dalam peristiwa berdarah Mei 13, 1969, dan amukan rakyat Indonesia terhadap Parti Komunis Indonesia dalam gerakan 30 September, 1965 (Gestapu) apabila hampir sejuta orang terkorban.
Tidak syak lagi, orang Melayu akan terus menghormati perjanjian mereka dengan kaum-kaum pendatang. Namun demikian, penghormatan ini tergantung kepada sikap kaum pendatang membalas budi orang Melayu. Jika mereka lupa, malah mahu memberontak dan mengasingkan diri, orang Melayu pasti akan bertindak balas. Kita mengatakan ini bukan untuk  menakut-nakutkan kaum Cina yang asalnya kaum pendatang. Orang Melayu akan  terus menghormati perjanjian ini dengan kaum Cina, tetapi bukan tanpa syarat. Syaratnya kaum Cina juga mesti menghormati perjanjian ini.
Perjanjian inilah yang dikatakan kontrak sosial antara kaum di Malaysia.

      4.  Perlembagaan Reid
Sebelum kita mencapai kemerdekaan, muncul dua gabungan parti: Pusat Tenaga Rakyat (yang terdiri dari parti-parti kiri Melayu dipimpin oleh Ishak Hj. Muhammad) dan All-Malaya Council of Joint Action (yang terdiri dari parti-parti kiri bukan Melayu yang dipimin oleh Tan Cheng Lock), disingkat kan menjadi PUTERA-AMCJA) dan gabungan pertubuhan Melayu dalam UMNO yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar dan kemudian Tunku Abdul Rahman. Gabungan pertama kiri dan yang kedua kanan.
Gabungan PUTERA-AMCJA menghasilkan apa yang dipanggil  Sepuluh Prinsip Rakyat atau Perlembagaan Rakyat, yang terdiri dari prinsip-prinsip  berikut:-
(1)   Sebuah negara Malaya, termasuk Singapura;
(2)   Sebuah majlis perundangan pusat dengan semua ahlinya dipilih;
(3)   Hak politik yang sama bagi semua warganegara;
(4)   Raja-raja Melayu jadi raja-raja beperlembagaan, yang berdaulat penuh dan menerima nasih dari perdana menteri yang dipilih;
(5)   Perkara-perkara yang berhubung dengan agama Islam dan adat-istiadat Melayu diletak di bawah penguasaan orang Melayu;
(6)   Perhatian khas diberi kepada kemajuan orang Melayu;
(7)   Bahsa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi;
(8)   Pertahanan dan hal-ehwal luar diletak bersama di bawah kerajaan Malaya dan Inggeris;
(9)   Kerakyatan dinamakan ‘Melayu’  (dengan pengertian luas dan progresif); 
(10)           Merah dan Putih dijadikan latar Bendera Kebangsaan Malaya. [1]
Jelaslah kebanyakan dari “Sepuluh Prinsip Rakyat” ini diterima oleh Suruhajaya Reid yang ditugaskan oleh Kerajaan Inggeris dan Raja-raja Melayu untuk menggubal Perlembgaan Persekutuan Tanah Melayu. 
Itulah kontrak sosial yang diterima dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan.
Dalam PRU13, nampaknya,  kontrak sosial ini tidak diterima lagi oleh kaum Cina. DAP, yang lahir dari PAP di Singapura, dalam propaganda mereka, menolak kontrak sosial ini dan garis propaganda ini ditelan bulat-bulat oleh sebagian besar kaum Cina yang pada kali ini mahu mengubah Kerajaan. 
Sekarang soalannya apakah yang akan dilakukan oleh orang Melayu. Banyak kenyataan yang kita dengar mereka tidak puas hati dan marah. Adakah mereka akan mengamuk? Pemimpin mereka sekarang, Najib, telah menasihatkan “penyatuan nasional”.  Kita setuju dengan nasihat ini. Orang Melayu harus bertindak secara rasional dan bijaksana. Namun demikian penyatuan nasional hendaklah berdasarkan prinsip. Hak orang Melayu yang sah tidak boleh dikorbankan. Kaum Cina harus menghormati prinsip ini. Kalau tidak, Malaysia tidak ada masa depan! 

5.      Kembali ke Dunia Melayu
Jika sebelum kedatangan penjajah, Malaysia sebagian dari Dunia Melayu yang termasuk Indonesia, sekarang setelah kedua-dua Malaysia dan Indonesia merdeka, elok dan logiklah kita berusaha untuk merealisasi penyatuan Dunia Melayu. Dua ciri yang penting wajud dalam Dunia Melayu: bahasa Melayu dan agama Islam. Dengan penduduk Dunia Melayu nombor empat terbesar di dunia (223 juta) di belakang China, India dan Amerika Syarikat  dan dan penduduk Islam teramai, mereka mampu membangunkan sebuah tamadun baru yang besar. Mereka juga berkemampuan  untuk membangkitkan semula Islam yang sebenar dan yang boleh membebaskan dunia dari kehancuran besar yang menanti akibat keruntuhan ideologi Liberalisme yang pasti berlaku.  
—————————————–
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Lama web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com    

Advertisements