Thursday, April 25, 2013
DUA JENIS POLITIK

DUA JENIS POLITIK:
POLITIK PUAK OLIGARKI
DAN POLITIK PUAK HUMANIS

Oleh: Kasim Ahmad
22 April, 2013

            Kebanyakan orang memandang jijik terhadap politik. Kata merela, politik kotor, dengan rasuah, pembaziran dan kronisme. Mereka lupa bahawa politik itu perlu untuk mentadbir negara dan masyarakat. Mereka juga lupa bahawa  politik ada dua jenis: politik baik (puak humanis) dan politik jahat (puak oligarki). Seperti yang disebut dalam Quran, “Mengapa kamu tidak berjuang di jalan Allah sedangkan lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang lemah memohon, ‘Tuan kami, selamatkanlah kami dari masyarakat yang ahli-ahlinya penindas, dan datangkanlah dari sisi-Mu seorang kawan dan penolong bagi kami.’ Mereka yang beriman berjuang di jalan Allah, dan mereka yang kafir berjuang di jalan tirani. Jadi, hendaklah kamu berjuang melawan sekutu syaitan. Sesungguhnya, muslihat syaitan senantiasa lemah.” [1]
Sejarah menunjukkan Nabi Muhammad, selain seorang nabi yang menerima wahyu daripada Tuhan, juga seorang pemimpin. Beliau memerintah negara-bangsa Madinah selama dua belas tahun dengan Perlembagaan Madinah yang masyhur itu yang digubal oleh beliau sendiri. Negara-bangsa ini kemudian meliputi seluruh Semenanjung Arab apabila beliau membebaskan Mekah dari dominasi kaum Quraisy. Beliau dan pengikut-pengikutnya mewakili puak humanis, sementara kaum Quraisy, puak oligarki.
Nabi Muhammad contoh seorang pemimpin yang baik. [2] Beliau melaksanakan politik atau pemerintahan yang kita istilahkan bersifat humanis. Apa yang kita maksudkan dengan istilah ‘humanis’ itu ertinya adil kepada semua warganya, tidak kira bangsa, agama, atau fahaman ideologi. Untuk mengetahui lebih terperinci sistem yang digubal oleh Nabi Muhammad, sila lihat esei saya bertajuk “A Short Note on the Medina Charter”. [3] 
Sejarah juga menunjukkan bahawa tiap masyarakat ada unsur-unsur baik dan buruknya. Nabi Muhammad dibangkitkan bukan saja untuk menukar masyarakat jahiliah Arab, tetapi juga masyarakat dunia. Seperti yang dinyatakan dalam Quran, beliau satu rahmat kepada seluruh dunia. [4]
Perhatikan bahawa dunia ini boleh diubah, dari jahat ke baik, dan dari baik ke lebih baik. Tidak perlu dinyatakan bahawa ia juga boleh merosot. Tugas manusia (khalifah) mentadbir dan mengubah dunia. Dalam satu metafora yang dahsyat lagi cantik, Quran memaklumkan perkara ini, demikian: “Telah Kami tawarkan tanggungjawab ini kepada lelangit dan bumi dan gegunung, tetapi mereka menolaknya kerana takut. Namun, tanggungjawab ini diterima oleh manusia! Dia jahil dan zalim!” [5] Perhatikan sindiran yang halus dalam ayat ini. Tuhan tahu kejahilan dan kezaliman manusia; namun demikian, Dia juga tahu kebolehan dan kemampuan manusia mentadbir dan mengubah dunia. Sebab itu dalam satu metafora lain, diperintahkan para malaikat sujud kepada manusia.[6]  
Mari kita uji kaedah mentadbirdan mengubah dunia ini kepada parti UMNO di Malaysia. Ingat bahawa UMNO mewarisi sistem pemerintahan bangsa Melayu dari Kesultanan Melayu Melaka dalam abad ke-15 sebelum Melaka jatuh ke tangan penjajah Eropah pertama di bumi Melayu,[7]  bangsa Portugis atau Feringgi, seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu.
Seorang penulis Perancis telah menulis, “Orang Melayu itu bangsa yang tinggi budi-bahasanya di Asia.” (Inggeris: The Malays are the gentlemen of the East.) Sebagai seorang Melayu, saya mengaku kebenaran kata-kata penulis ini. Sifat inilah yang menyebabkan orang Melayu menerima orang Cina dan India yang datang ke Tanah Melayu dari bumi China dan India dalam zaman penjajah  Inggeris (sejuta jumlahnya) sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (PTM) apabila ia mencapai kemerdekaan dari Inggeris pada 31 Ogos, 1957. Fakta ini menukar demografi PTM menjadi sebuah masyarakat majmuk.
UMNO pada ketika ia dilahirkan di Johor Baharu pada tahun 1946 sebuah parti massa Melayu dengan idealisme yang tinggi untuk mencapai kemerdekaan. Dalam masa satu generasi anak-anak Melayu keluar dari lembah  kemiskinan dan perhambaan di tanahair mereka sendiri menjadi tuan! Demikian besarnya jasa UMNO kepada orang Melayu!
Namun demikian, semua benda reput dan merosot. Begitu juga UMNO. Setelah Tun Razak, presiden UMNO dan perdana menteri kedua, reputan dan rosotan ini mula berlaku hingga UMNO berpecah dua dalam tahun 1987-88 semasa Dr. Mahathir menjadi presiden UMNO. Dalam pilihanraya umum ke-12 pada 2008, BN gagal mendapat majoriti dua pertiga dan hilang kuasa di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang manakala Kelantan tetap di bawah pentadbiran PAS.
Bolehkah UMNO di pulih semula? Sesetengah orang berkata: “Tidak boleh dan tidak perlu. Biarlah UMNO mati. Kita pilih Pakatan Rakyat (PR) pula menjadi pemerintah.”  Kata pepatah Inggeris, “Better the devil you know than the devil you do not know.” Kita tidak perlu pesimis dan sinis seperti ini. Kita percaya kepada kebolehan manusia, khalifah Tuhan di Bumi.
Kita tidak mahu terperangkap dalam sistem dwiparti. Bila kita memecahkan masyarakat kepada dua (kerajaan/pembangkang) kita buka pintu kepada perpecahan kepada tiga, empat dan seterusnya. Kita menjadi lemah. Lihat apa yang sedang berlaku di Eropah sekarang. Selama dua bulan selepas pilihanraya umum, Itali tidak boleh membentuk kerajaan. Spain, Protugal, Greece dan Ireland muflis. Pendek kata, seluruh Kesatuan Eropah dilanda krisis. Tidak dapat tidak, A.S. juga terlibat dalam krisis ini.
Oleh sebab itu, kita anjurkan penyusunan sebuah sistem parti dan pemerintahan nasional kita sendiri, yang boleh menyatu dan memperkuat masyarakat nasional kita. Kita sudah ada contoh dalam sistem yang dibentuk oleh Tun Razak menghimpunkan parti-parti dari pelbagai kaum dan jalur ideologi dalam satu permuafakatan besar berdasarkan patriotisme Malaysia. Lama sebelum ini, pentadbiran Nabi Muhammad di Medinah dan kemudian di Semenanjung Arab memeperlihatkan sifat ini, walaupun pada masa itu sistem parti belum lahir.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com