Meneropong suatu peribadi tidak boleh terpengaruh oleh rasa sayang dan rasa benci. Kerap kali terjadi, baru sahaja bertemu dengan seseorang, terus lekat sayang kepadanya. Atau sebaliknya. Pada hal yang belum patut ada hubungan sayang dan benci dalam perkara itu.

Memang kadang-kadang kita sayang kepadanya kerana ikhlasnya, mulia hatinya, setia, berani. Kita benci kerana dia curang, tidak mengenal kejujuran dan kejujuran tidak pernah pula berkenalan dengannya, bakhil, benalu, penohok kawan seiring, pengunting dalam lipatan.

Tetapi tidak kurang pula kita menyayangi seorang, kerana orang itu mahu kita perkuda untuk kepentingan kita sendiri. Atau kita benci bukan kerana dia bersalah, hanya kerana kita sendiri seorang pendengki.

Kadang-kadang terasa benar perbezaan peribadi jika orang dari suatu golongan bergaul dengan orang dari golongan lain. Semuanya mempunyai kesukaan sendiri, cara sendiri, kebiasaan sendiri.

Canggung dan kakulah orang, kalau dalam masyarakat yang seluas selebar ini, dengan berbagai macam ragamnya, kalau perbezaan itu tidak di perhatikan. Sehingga singkatlah ukurannya. Dan lebih canggung lagi orang sengaja jadi Pak Turut, menenggelamkan peribadinya sendiri kedalam keluasan peribadi orang lain.