Tahu diri dalam bahasa arab ‘tawadu’. Ertinya kita insaf dimana kedudukan kita yang sebenarnya, sehingga tidak lebih ke atas daripada tempat kita yang sebenarnya dan tidak pula di bawah. Jadi bukanlah merendah diri, sebagaimana kerap kali orang salah mengertikannya.

Orang yang mengangkat dirinya lebih daripada semestinya membesar-besarkan diri, tidak tahu mengaku tahu dan sebagainya, nescaya dalam waktu yang tidak berapa lama akan kelihatan kebodohan atau kelemahannya.

Tak usah kita memukul canang menunjukkan diri, kerana ‘manikam’ tulen akan dapat di kenal oleh ‘jauhari’. Emas lancung tiada perlu di sepuh, kilat tembaga akan kelihatan juga. Manusia serupa belaka. Kelebihan yang akan di dapat hanyalah kerana bekas. Lebih baik serupa orang mengaji, mulai dari bawah, dari alif. Agar kelak beransur-ansur kepada huruf lain. Buruk amat kalau di mulai dari atas kerana terpaksa turun juga.

Tahu diri bukan ertinya membuat diri menjadi hina, segan-segan, menyisih-nyisih, hingga timbul takut bergaul, atau kaku dan canggung. Bukan! Sebab hal yang sangat berbahaya, harus dibuang jauh-jauh. Orang yang pandai memyesuaikan diri , ialah yang tahu dimana tempat duduknya. Dia tahu apa ada padanya dan mana dia kurang. Bagaimana pun jua masyhurnya dan besar seseorang , namun “segala tahu” tidaklah ada.

Orang “segala tahu” sangatlah menjemukan.

Advertisements