Salah satu daripada perangai kegila-gilaan di zaman kita ini, ialah mencari nama dan kemasyhuran. Kalau orang suka menyelidiki, jarang sekali orang yang terlepas daripada penyakit keanak-anakkan ini, sehingga agaknya mereka sangka bahawa ketenangan dan berdiam diri itu suatu malu yang tidak dapat dipupuskan.

Sebab itu mereka berlumba, berkejar-kejar sehabis daya upaya menyatakan diri dan iklannya ke muka umum. Segala tipu daya, segala ikhtiar dan usaha, dicari, diusahakan, supaya nama di sebut orang. Mereka semuanya seakan-akan orang binggung, bersorak setinggi langgit, serupa penumpang perahu yang tenggelam layaknya, terdampar kepada sebuah pulau, lalu di garangnya api, di kipas-kipasnya kain kepada kapal yang lalu lintas, supaya penumpang kapal itu tahu bahawa dia ada dalam pulau tersebut.

Yang herannya, penyakit mencari nama itu bukan sahaja menyerang kepada orang-orang yang suntuk akal, makhluk ‘kelas tiga’ di dalam masyarakat. Bukan sahaja verkooper berkeliling yang mengagungkan jualannya, menyatakan kejempolannya. Bukan sahaja tukang-tukang jual ‘obral’ atau penjaja-penjaja ubat yang ‘berlesing’ di tepi jalan menyatakan ubtnya yang paling manjur dari segala macam ubat di atas dunia ini, sehingga dokter sendiri berkali-kali kalah di buatnya.

Bahkan, yang lebih menyedihkan hati, penyakit ini lebih hebat menyerang orang-orang yang tidak di sangka begitu, iaitu sebagai penganjur-penganjur pergerakan politik, yang datang ke dusun-dusun menyatakan kepada rakyat, bahawa dialah pemimpin yang tulen, sedangkan yang lain itu palsu. Dialah yang bekerja guna rakyat, sedangkan yang lainnya itu hanya guna ‘kantungnya’.

Advertisements