Keberanian kesopanan, keberanian budi, ialah berani menyatakan sesuatu perkara yang di yakini sendiri akan kebenarannya, walaupun akan di benci oleh orang lain. Di dalam lidah syarak, pekerti yang demikian namanya ‘amar ma’ruf, nahyu anil munkar’, menyuruh berbuat baik mencegah berbuat jahat.

Di dalam masyarakat perlu ada orang-orang yang berani menyatakan perkara-perkara yang dipandangnya benar itu, baikpun dengan sikap menyerang. Misalnya menyatakan kesalahan perkara-perkara yang telah terbiasa di pakai orang, telah teradat, padahal tidak sesuai lagi dengan zaman.

Dan boleh juga sikap menangkis, iaitu kelihatan sesuatu hal yang bersalahan dengan kebenaran, di lakukan atau di ucapkan oleh orang lain, padahal tidak ada orang yang berani membantah itu, maka kita bantah dengan alasan yang cukup.

Tidaklah suatu bangsa itu akan tegak, tidaklah sesuatu bangsa itu faham, akan dapat didirikan, kalau sekiranya di dalam kalangan bangsa itu sendiri tidak ada orang yang berani menyatakan kebenarannya. Kalau suatu umat berkehendak supaya hidup, supaya tidak dihapuskan namanya dalam daftar riwayat, harus ada yang berani menyatakan kebenaran itu. Sebab tiap-tiap bangsa itu amat segan mengubah yang lama.

Dia hendak tetap pada yang lama juga, padahal kadang-kadang tidak sesuai dengan zamannya lagi. Kalau ada suara baru yang mengkritik yang lama itu, tentu sahaja akan mendapat sambutan sengit daripada si orang lama.

Orang yang menyatakan kebenaran itu mesti tahan. Kerana di dalam menjatuhkan benteng itu, orang yang tegak di barisan hadapan harus kena peluru dan kadang-kadang jatuh mati, tetapi kelak, orang di barisan belakang akan berjalan di atas mayat orang-orang yang di barisan hadapan tadi, maju terus, menyerang terus, sehingga peluru musuh itu habis.

Advertisements