Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun keempat belas.  Islam terpahat kukuh di persada sejarah negara.  Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka.  Dengan pengislaman Raja Melaka dalam tahun 1409, Islam bertapak lebih kuat di alam Melayu, dijadikan agama rasmi Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458)    Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara.

 

Risalah Islam memberikan impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu. Islam mengisi kandungan rohani, begitu serasi – begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu.  Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan umat Melayu di Malaysia.  Islam mengubah anutan agama umat Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.  Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat.  Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru.

 

 Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu.  Ia telah mencetuskan satu revolusi pemikiran di kalangan umat, berupaya menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur.  Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya.  Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme dan intelektualisme di kalangan umat, mengangkat adab dan susila  serta kesedaran terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan.

 

Beberapa pengubahsuaian lantas berlaku dalam sistem pemerintahan dengan pengenalan identiti baru.  Raja dan Kerajaan diberi taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah ‘bayangan ALLAH di muka bumi (zillulah fi al-Ard)”.  Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia.    Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan.  Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan.  Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.  

Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu.  Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu.  Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak.  Di negeri Perak, Undang-Undang 99 juga digubal berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerap pengaruh Islam dalam pentadbiran masing-masing.

 

Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu meneruskan tradisi pemerintahan beraja yang kekal berpandukan undang-undang Islam sehingga munculnya penglibatan Inggeris dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.  Inggeris telah memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam.  Proses peralihan kepada sistem pentadbiran perundangan Inggeris telah dilakukan dari negeri ke negeri.  Hal ehwal Islam ditadbirkan secara berasingan dengan penubuhan institusi-institusi khusus untuk urusan Agama Islam dan adat istiadat Melayu.