“.. Islam akan terhakis apabila tanggung jawab terhadap urusan Islam gagal dipantau secara tegas. Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa, sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada perkara-perkara prinsip menyentuh aqidah. Hari ini nama suci ALLAH, dilaporkan telah diguna pakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam – tanpa mengendahkan potensi yang boleh mengelirukan aqidah anak-anak Islam – tanpa mempedulikan betapa terhirisnya perasaan ummah. Nama suci ALLAH yang termaktub di dalam Al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God. ALLAH adalah kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam, kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain. Kalimah suci ALLAH bukan sekadar “nama am” yang bermaksud “Tuhan” walau apa bentuknya. Kesucian kalimah ALLAH amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut bila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas. ALLAH adalah nama khas, Tuhan Maha Suci – Tuhan Maha Agung. ALLAH adalah satu-satunya Tuhan berdasarkan Kalimah Syahadah yang dilafazkan: “Bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”;