Kita hendak tahu hakikat sesuatu, dan kita hendak mengerti kedudukan sesuatu. Lalu kita bekerja keras dengan menumpahkan segenap akal dan fikiran menyelidiki sampai berdalam-dalamnya. Kerana kesungguhan hati, dapatlah terbuka rahsia barang yang kita cari itu, sehingga kita telah mempunyai kepercayaan dan keyakinan di dalam perkara itu. Maka perasaan mencari dan mengorek rahsia itu, itu lah yang bernama hikmat.