Undang-undang ini merupakan undang-undang yang paling tua dan yang paling menarik daripada yang lain, bertarikh 1650 Masihi. Ia telah dijumpai dan setelah dilakukan pemeriksaan ia telah di kumpul atas perintah Sultan Rijalu’ddin Mukarram Shah yang memerintah Kedah di Naga. Ini dinyatakan dalam Seksyen 34. Seksyen itu menyatakan;

“Pada adat kebesaran hasil kapal Kalinga itu empat ratus emas dan kapal Gujerat enam ratus emas. Maka undang-undang ini diperbuat daripada zaman Sultan Rijalu’ddin Muhammad Shah semayam di Naga, muafakat dengan sekalian manteri pegawai dan pandita membicharakan dia, supaya tetap adat ini, janganlah berubah-rubah. Tatkala tetap adat negeri, maka segala dangan pun banyaklah mari ka negeri itu; maka ramailah. Tatkala ramai, maka isi negeri pun jadi maamor; maka sentosalah negeri itu, maka adalah tersebut di dalam hadith Nabi salla’llahu alaihi wa sallama, apabila raja-raja menetapkan adat, bagi raja-raja allah subhanahu wa taala menetapkan masanya; jika raja-raja kafir sekalipun.”

Undang-undang ini telah di perbuat pada hari Jumaat 17hb Jumadil akhir tahun 1060 Hijrah bersamaan dengan tahun 1650 masehi. Undang-undang ini adalah berkaitan dengan undang-undang pelabuhan. Tujuan undang-undang ini di buat adalah menetapkan peraturan di pelabuhan dan menentukan tugas pegawai-pegawai atau pekerja-pekerja pelabuhan. Berdasarkan undang-undang ini, Kedah sejak tahun 1650, malahan sebelum itu lagi, telah merupakan satu kawasan pelabuhan dan perdagangan. Menurut sejarah, terdapat beberapa penggkalan pelabuhan dan tempat berlabuhnya kapal perdagangan di Kedah contohnya, Pelabuhan Kuala Merbok.