Sesudah perang yang pertama, meskipun Perancis termasuk negeri yang menang, namun kemelut ekonomi sangatlah mempengaruhi masyarakat Perancis. Maka naiklah Arstide Brind menjadi Perdana Menteri, seorang diplomat eropah yang amat ulung. Maka terjadilah pemogokan buruh keretapi kerana meminta kenaikan gaji, 150,000 buruh mogok. Dan parlimen belum bersidang lagi.

Dengan cepat Perdana Menteri itu mengambil sikap luar biasa, iaitu menyatakan undang-undang “negara dalam bahaya” dan mengadakan mobilasi umum, sehingga dengan cara demikian permogokan dapat di tindas. Beberapa lama kemudian di panggilnya parlimen akan bersidang. Baru sahaja ia naik ke atas mimbar untuk mempertahankan kebijaksanaan pemerintahannya, maka kedengaranlah sorak-sorak dari pihak pembangkang “runtuhlah diktator, robohlah tangan besi..:

Maka dari atas mimbar yang tinggi itu beliau melihat dengan tenangnya kepada barisan pembangkang itu, kemudian di palingkannya pula matanya kepada segala anggota parlimen, seorang-seorang dengan sikap tenang, sehingga kian lama, lantaran tenangnya majlis itu, kian heninglah suara sorak kaum pembangkang. Melihat kepada majlis yang tenang, beliau pun mulai pidatonya dengan tenang sambil menggeleng-gelengkan kepala “ Diktator kata tuan-tuan? Begini berat kewajipan yang telah ku pikul, di dalam usia yang telah meningkat tinggi, untuk tanah air yang ku cintai, tidak lebih baikkah, kalau tuan-tuan ucapkan saja satu kalimat, satu kalimat pun cukuplah, satu isyarat pun jadi! Supaya naik yang lebih cekap menghadapi kesulitan ini. Maka saya berjanji akan mengikut perintahnya dengan tidak sesal sedikit pun. Saya akan duduk kembali ke atas kerusi saya yang dahulu, saya akan duduk bersama tuan-tuan, menjadi seorang pelayan kecil kepada tanah perancis yang tercinta ini! Sangka tuan-tuan hanya dengan cara yang begitu sajakah menghadapi soal yang amat besar ini? Kesulitan ini jauh lebih besar dari apa yang tuan fikirkan!…”

Tiba-tiba majlis menjadi hening, suara kaum pembangkang tidak dapat dinaikkan lagi. Sikap jujur dan sungguh-sungguh dengan sendirinya telah memikat dan menakluki hati parlimen seluruhnya, bahkan hati kecil kaum pembangkang sendiri juga. Dia sengaja berhenti berbicara beberapa detik, seakan –akan meminta keputusan yang tegas dari parlimen. Maka kedengaran suara: “ Terus! Terus! ”

Advertisements