Oleh: Kassim Ahmad

1 Julai, 2011

Mengikut para penganjur Perhimpunan Besar yang dijadualkan pada 7 Julai ini untuk memastikan pilijanraya umum ke-13 akan datang itu bersih. Apakah relevan tunjuk perasaan dengan tujuan seperti yang diisytiharkan itu? Mari kita kaji perkara ini.
Sistem demokrasi dwi-parti (pemerintah-pembangkang) seperti yang kita amalkan sekarang kita tiru dan pinjam dari Barat. Jika kita ingat bahawa sejarah Barat itu penjajah dan seajarah Dunia Ketiga, termasuk Dunia Islam, itu dijajah, kita dengan segera akan sedar bahawa fenomina ‘demokrasi’ (dibahasakan oleh budak-budak nakal kita ‘Dia mau kerusi!’) harus kita kaji denag lebih teliti dan mendalam.
Bila tiga orang manusia atau lebih berkumpul, mereka mesti mewujudkan sebuah organisasi untuk mengurus kehidupan mereka. Sebuah keluarga, sebuah kelab, sebuah kumpulan pengembara, sebuah sekolah, sebuah kampung dan seterusnya sebuah negara akan ada organisis untuk mengurus dan mentadbir unit itu. Ini tidak adapat dielak. Ini undang-undang alamiah, semulajadi.
Setelah kita membuat kesimpulan demikian, ia sama sekali tidak mensahkan sistem demokrasi dwi-parti ini. Di lokasi lain, saya telah menunukkkan bahawa sistem in primitif dan membazir. Primitif kerana ia melambangkan peringkat kejiwaan manusia haiwan – hidup mereka “satu lawan semua”! Inilah falsafah politik yang dianjurkan dalam karya failasuf Inggeris, Thomas Hobbes (1588-1679), Leviathan. Membazir, kerana Tuhan berikan kita dua tangan, lalu satu tangan kita gunakan untuk merosakkan kerja tangan yang lain! Oleh kerana demikan sifatnya ‘demokrasi’ ini, maka kita sedang melihat keruntuhannya di negara-negara Barat sendiri! (Krisis ekonomi-politik di Greece, Portugal, Inggeris dan Amerika Syarikat.)
Jadi, mengapa kita bermati-matian hendak meniru sistem yang sedang runtuh di tempat lahirnya sendiri?
Kita boleh ada banyak parti yang mewakili pelbagai jalur ideologi dalam masyarakat . Kita semua mahukan kebaikan untuk negara kita, bukan? Mengapa kita tidak boleh wujudkan satu sistem yang membolehkan semua jalur ideologi bekerjasama dalam satu permuafakat besar Patriotisme Malaysia? Boleh, bukan. Ingatkan pepatah: hendak seribu daya; tak hendak seribu dalih.
Koreksi terhadap penyelwengan boleh dibuat melalui kritikan dan perundingan dari dalam
Berbalik kepada perkara tunjuk perasaan secara aman untuk menuntut sesuatu keadilan – ini satu hak asasi manusia. Kita tidak boleh menafikan hak asasi ini. Dalam pada itu, ketenteraman awam juga satu hak asasi. Semua rakyat berhak mendapat perlindungan dari keadaan huru-hara, anarki, dan keruntuhan ketenteraman awam. Jadi, kita mesti pandai mendamaikan kedua-dua hak dan tuntutan ini.
Tidak ada kerajaan yang sempurna. Kita mahukan suatu kerajaan yang boleh mewujudkan kesempurnaan antara 51% (paling rendah) hingga ke 99% (paling tinggi) dalam negara kita. Arahan tetap dalam ajaran agama kita: “Serulah kebaikan dan larang kejahatan” itu tepat sekali dan perlu kita praktikkan. Kalau kita senantiasa praktikkan ini, kita pasti akan mendapat sebuah kerajaan yang baik.
Oleh kerana tiada kerajaan yang sempurna, maka rasuah, pembaziran dan pelbagai penyelwengan lain terdapat dalam sebuah masyarakat, termasuk masyarakat kita, mesti dihapuskan. Ini tuntutan-tuntutan yang sah. Inilah koreksi yang harus masyarakat kita lakukan dari dalam (melalui kritikan dan perundingan) dan dari luar melalui tunjuk perasaan.