I

Tenteramlah anak

Walaupun kebanjiran sawah kita

Hujan ini dari tuhan

Yang mencurah-curah rahmatNya

Ada siang masakan tiada terang

 

Dengarlah

Si katak sudah memanggil lagi

Besok hari panas

Padi kita akan lepas

 

II

Tidurlah ibu

Kita manusia kerdil

Siang membanting tulang

Malam menanggung bimbang

 

Ada besok maka pasti ada surya

Aku akan pergi

Dengan seribu Jebat si anak tani

Kian lama kita mati dalam setia

Kali ini kita hidup dalam durhaka!

 

Kassim Ahmad