Apa hendaknya pada kita suatu daya penarik, yang menyebabkan jiwa orang berdekat dengan kita, tetap lekat dengan kita, sehingga timbul perhubungan yang kekal. Tidak kerana dipaksa-paksa dan dibuat-buat. Loyang sepuhan, lama-kelamaan akan kembali juga kepada warnanya yang asli.

Dengan apa kita menarik orang?

Dengan budi yang tinggi, kesopanan, ilmu pengetahuan yang luas, kesangupan menahan hati kepada perkara yang belum, di sepakati dengan kecerdasan, kecepatan menarik kesimpulan, kebagusan susun kata, kepandaian menjaga perasaan orang dan kesanggupan menenggang.

Kumpulan sifat dan kelebihan itu menimbulkan daya penarik pada diri kita. Hal itu dapat dipelajari dengan pergaulan yang luas, dan ada juga kerana di pusakai. Pendidikan ibubapa, sekolah, teman sejawat dan lingkungan masyarakat, semuanya itu adalah guru yang membentuk daya penarik. Kuat atau lemahnya.

Ada orang, yang mulai kelihatan saja rupanya, sudah menarik hati kita, tetapi setelah bertukar fikiran, nyata dimana kekurangannya.

Sebaliknya ada orang yang mula-mula kita lihat telah menimbulkan rasa benci, dan setelah bertukar fikiran, ia pun membangkitkan penghargaan. Kita dengar keburukan seseorang daripada musuhnya. Kita belum mendekatinya. Kata musuh payah yang adil.

Lemah lembut, tetapi bukan diertikan menerima sahaja, lunak tetapi tidak lekas berkisar dari suatu pendirian, dan jujur dalam perkara yang belum diketahui. Tegas! Banyak perkara sulit yang dapat diselesaikan dengan mudah, kerana kelapangan dada menghadapi dia, bukan gegabah. Dengan kekuatan jiwa saja banyak maksud yang dapat dihasilkan, kerana yang mengurusnya mempunyai daya penarik.